My Blog List

Sunday, November 21, 2010

praktikaliti pentakmiran masjid melalui kepimpinan pegawai masjid...

1-Mukaddimah
Jabatan Hal Ehwal Masjid telah ditubuhkan pada 26hb. Muharram 1414 bersamaan dengan 16hb Julai 1993. Jabatan ini mula berfungsi pada 1hb. Oktober, 1993. Ianya ditubuhkan atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaulah Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam yang diisytiharkan sendiri oleh baginda pada satu majlis sempena pembukaan rasmi bangunan baru Masjid Kampung Bunut, pada hari Jumaat 26 Muharram 1414H, bersamaan dengan 16 Julai 1993M, yang antara lain baginda bertitah : Bersabit dengan inilah, untuk mengemaskinikan lagi peranan masjid itu, Beta telah memperkenankan penubuhan sebuah jabatan baru di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama yang di beri nama " Jabatan Hal Ehwal Masjid" .

Visi utama Jabatan Hal Ehwal Masjid ialah menjadikan masjid pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan pemikiran ke arah takwa. Manakala Misinya pula ialah menjadikan masjid pusat peribadatan, kemasyarakatan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Matlamat utama Jabatan ialah membentuk ummah ke arah kemantapan aqidah, syariah, akhlak, ketakwaan dan keilmuan. Dalam mengembangkan peranan dan fungsi masjid kepada berbagai golongan masyarakat, maka Jabatan Hal Ehwal Masjid telah mengwujudkan beberapa bahagian dalam struktur pentadbirannya bagi mengawasi dan memastikan perkembangan hal ehwal masjid seluruh negara berjalan dengan lebih teratur, diantara fungsi dan tanggungjawabnya ialah bertanggungjawab dalam hal ehwal pentakmiran masjid.

Bahagian Imarah (Pentakmiran) bertanggungjawab dalam merancang, melaksanakan dan memantau pentakmiran masjid seluruh negara. Diantara tanggungjawab Bahagian Imarah ialah menyediakan Rancangan Kerja Tahunan Bahagian Imarah. Disamping memantau dan mengawal perjalanan perlaksanaan dan perkembangan kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid-masjid, ianya juga bertanggungjawab dalam mengendalikan acara sambutan sempena Hari Kebesaran Islam dan Hari Kebesaran Negara.

2- TAKMIR MASJID (Kegiatan-kegiatan Masjid)
Masjid adalah wadah penting dan mercu tanda kekuatan umat Islam selain digunakan untuk bersembahyang dan program-program bahkan perlu diisi dengan program-program yang tidak menyalahi ajaran-ajaran dan etika Islam seperti ceramah kekeluargaan, motivasi, kursus, seminar, forum, jualan amal dan lain-lain yang bersesuaian untuk mentakmir dan memakmurkan masjid. Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam "Masjid adalah wadah tarbiah dan dakwah. Ia perlu cergas dan berkesan. Istilah ‘takmir masjid’ adalah untuk kita melihatnya sebagai fokus masyarakat bagi melakukan ibadat, dan juga sebagai tempat untuk mendapatkan bimbingan-bimbingan keugamaan.Kerana itu, masjid tidaklah boleh malap dan lemah. Jika ia malap dan lemah, masyarakat akan tarik diri daripadanya".
Dengan adanya takmir masjid ini, secara tidak langsung akan mendekatkan masyarakat setempat dengan masjid. Jabatan Hal Ehwal Masjid memberi garis pandu dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti takmir masjid yang dikategorikan seperti berikut :-

2.1:Kegiatan Harian dan Mingguan :
-Kelas Al-Quran dan Muqaddam, membaca Surah Yaasin, berzikir Ratib Al-Attas, kuliah Maghrib / Subuh dan lain-lain.

2.2:Kegiatan Bermusim / Berkala :
-Sambutan sempena hari-hari kebesaran Islam seperti Awal Muharram, Maulud Nabi SAW, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Nuzul Al-Quran, Tadarus di bulan Ramadhan, kelas fardhu ain / fardhu kifayah dan lain-lain.
2.3:Kegiatan Peringkat Negara
- Sambutan Keugamaan Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
- Sambutan Keugamaan Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

2.4:Kegiatan Sosial :
- Membersihkan masjid dan tanah perkuburan
- Mengadakan Majlis Korban / Aqiqah
- Mengadakan jualan 'Amal
- Tahlil sekampung
- Doa selamat keberangkatan / kepulangan jemaah Haji.
3-SASARAN PROGRAM TAKMIR
Bahagian Imarah menyusun dan menyediakan beberapa program untuk dilaksanakan di Masjid / Surau / Balai Ibadat seluruh negara menurut keperluan dan bersesuaian supaya dapat menepati matlamat yang hendak dicapai.

Program/Aktiviti yang dilaksanakan dibahagikan seperti berikut :

3.1:Program/Aktiviti Pegawai-pegawai masjid dan jawatankuasa masjid.
a-Bengkel Pegawai-pegawai Masjid Senegara
b-Kursus Ulangkaji Pegawai-pegawai Masjid
c-Kursus Intensif Pegawai-pegawai Masjid
d-Kursus Pelapis Imam / Bilal
e-Bengkel Jawatankuasa Takmir Masjid
f-Seminar Penyampaian Berkesan
g-Kursus Pengurusan Masjid

3.2:Program/Aktiviti Orang Dewasa (lelaki dan perempuan), Belia dan Beliawanis, Pelajar dan Kanak-kanak.
a-Pertemuan Belia dan Beliawanis
b-Kursus Fardhu Ain
c-Kelas Quran Berlagu
d-Kursus Pengurusan Jenazah
e-Kaunseling Belia di Masjid-masjid
f-Halaqah Tarbiyah Belia
g-Qiamullail
h-Minal Masjid Ilal Masjid
i-Bengkel Dikir Syarafil Anam
j-Rakan Sebaya Masjid
k-Perlawanan Bola Sepak Piala Zain
3.3:Program/Aktiviti Jemaah / Pegawai kerajaan / Swasta
a- Bengkel Dikir Syarafil Anam
b- Kursus Fardhu Ain
c- Bengkel Pengurusan Jenazah
4-KUMPULAN BELIA MASJID (KBM)
Kementerian Hal Ehwal Ugama merupakan institusi Kerajaan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan dasar-dasar Majlis Ugama Islam di Negara Brunei Darussalam. Salah satu daripada dasar penting yang menjadi matlamat Kementerian pada masa ini ialah memperkuatkan kehidupan berugama di kalangan umat Islam di Negara Brunei Darussalam. Matlamat yang dihasratkan seimbang dengan peredaran masa dan kemajuan dunia. Bagi merealisasikan matlamat ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid telah memperkenalkan Program Kumpulan Belia Masjid dengan harapan bagi melahirkan generasi beriman, berakhlak dan berilmu.

Kumpulan Belia Masjid telah diperkenalkan penubuhannya di masjid-masjid seluruh negara bermula awal tahun 2000M iaitu bersempena dengan kedatangan alaf baru ke-21. Penubuhan Kumpulan Belia Masjid ini sememangnya menjadi tanggungjawab setiap masjid terhadap anak buah mukimnya bagi lebih menyemarakkan lagi syiar Islam dan meningkatkan aktiviti-aktiviti pentakmiran masjid-masjid seluruh negara.
Matlamat Kumpulan Belia Masjid ialah melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia dan berilmu.Objektif Kumpulan Belia Masjid pula ialah
1- Untuk menanamkan rasa tanggungjawab dan cinta kepada masjid
2-Untuk memberi peluang kepada remaja/belia mengendalikan aktiviti-aktiviti masjid
3-Untuk menerapkan dan memanfaatkan konsep dan asas pembinaan masjid sebagai taqwa dalam kehidupan seharian
4-Untuk menjadikan masjid sebagai sumber rujukan dan sebaik-baik tempat mencari ketenangan
5-Untuk menghubungkan silaturrahim dan menanamkan sifat persamaan dalam Islam
6-Untuk memasyarakatkan masjid kepada remaja/belia
7-Untuk membina remaja / belia cemerlang.

4.1 - PROGRAM
Program Belia Masjid sepanjang tahun terbahagi kepada tiga kategori :-
4.1.1 PROGRAM MINGGUAN
• Kelas Al-Quran Belia
• Kelas Dikir Syarafil Anam dan Dikir Diba'ie
• Kelas Ugama
• Kelas Hadrah
• Thaharah / Ibadah Sembahyang
• Rawi / Berzanji
4.1.2 PROGRAM BERKALA
• Perkhemahan Belia Masjid
• Pertemuan Belia Masjid Peringkat Zon/Mukim/Daerah/Negara
• Pertukaran Belia Masjid Antara Daerah
• Minal Masjid Ilal Masjid
• Program Bimbingan Ibadah
• Kem Motivasi Belia
• Program Pembentukan Adab Belia Muslim
• Program Khidmat Masyarakat
• Program Rekreasi Belia Masjid
• Program Belia Kreatif
• Perkhemahan Amali Jawi
• Klinik Al-Quran
• Minggu Mencintai Masjid
• Program Celik IT
• Qiamullail Belia Masjid
• Bengkel Pengurusan Jenazah
• Minggu Menghadapi Peperiksaan
• Peraduan Membaca Khutbah Belia
• Peraduan Khat Jawi Belia
• Peraduan Tahlil Belia
• Peraduan Azan
• Pertandingan Kuiz Belia Masjid
• Peraduan Hafalan Surah Yaasin Belia
• Bengkel Kecemerlangan Diri
• Bengkel Belajar Berkesan
• Bengkel Hadrah
• Bengkel Membuat Keranda
• Bengkel Pertolongan Cemas
• Bengkel Menambat Serban

4.1.3 PROGRAM BERMUSIM
a) SEMPENA AWAL TAHUN HIJRAH .
• Membaca Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah
• Minal Masjid Ilal Masjid
• Perkhemahan Hijrah
• Minggu Kreatibiliti Belia
• Ceramah Hijrah
• Forum Hijrah
• Dan Lain-Lain
b) SEMPENA MAULUD NABI MUHAMMAD SAW .
• Menghayati Hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
• Ceramah Khas Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
• Peraduan Membaca Rawi
• Peraduan Dikir Syarafil Anam
• Bengkel Tausyeh
• Dan Lain-Lain
c) SEMPENA ISRA’ MI’RAJ .
• Bengkel Pengukuhan Akidah
• Ceramah Khas
• Peraduan Deklamasi Sajak
• Peraduan Puisi Syiar Islam
• Kursus Menghalusi Sembahyang Fardhu Lima Waktu
• Dan Lain-Lain
d) SEMPENA BULAN RAMADHAN .
• Qiamullail
• Taqarrub kepada Allah
• Tadarus Al-Quran Di Siang Bulan Ramadhan
• Melakukan Sembahyang-Sembahyang Sunat
• Beriktikaf
• Bertahlil Di Kubah Makam Diraja
• Menghayati 10 hari terakhir bulan Ramadhan
• Gerai Ramadhan Belia Masjid
e) Sempena Peristiwa Nuzul Al-Quran:
• Peraduan Membaca Al-Quran Belia
• Peraduan Menghafaz Surah-Surah Pilihan
f) SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA .
• Bengkel Mengikat Binatang
• Kursus Menyembelih Binatang
• Ceramah Fadhilat Berkorban
g) SEMPENA HARI KEPUTERAAN KDYMM .
• Peraduan Pidato Belia Masjid
• Bengkel Khat Jawi
• Bengkel Adat Istiadat
• Ceramah Melayu Islam Beraja
5-PERANAN PEGAWAI MASJID DALAM MENJALANKAN PENTAKMIRAN MASJID

Pegawai masjid sebenarnya berperanan bukan hanya dari segi pentakmiran dimasjid-masjid, dimana pegawai-pegawai masjid ini berperanan sebagai pendidik, penasihat/kaunselor, pelaksana pelbagai aktiviti kemasyarakatan, malahan pegawai masjid juga berperanan sebagai orang yang mentadbir masjid (termasuk dalam pemeliharaan bangunan kewangan dan sebagainya ), mengurus Jawatankuasa Takmir masjid, membina personality diri dan menjaga waktu. Disamping itu pegawai masjid juga terlibat secara langusung dalam bidang social dan kebudayaan masyarakat seperti penyempurnaan jenazah, penglibatan dalam kenduri kendara, sumber rujukan masyarakat, sebagai amil dan juru nikah dan bermacam-macam lagi.

Dan apabila bercakap mengenai penglibatan pegawai masjid dalm pentakmiran masjid pula, bolehlah diringkaskan seperti berikut :

5.1 Penglibatan Pegawai masjid disebuah Institusi masjid dalam Majlis Sambutan Perayaan Negara:

Meninjau semula peranan dan fungsi Institusi masjid sejak zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bahawa sesungguhnya masjid bukanlah semata-mata sebagai tempat beribadat sahaja, bahkan Istitusi Masjid sebenarnya telah turut berperanan sebagai tempat untuk mentadbir Negara, pusat perkembangan ilmu, perpaduan muslimin, ketahanan ummah dan sebagainya. Dari dewan-dewan masjid dicetuskan semangat keislaman, semangat cintakan Negara dan semangat ukhwah islamiah, semata-mata kerana satu tujuan iaitu menegakkan syiar Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Di Negara Brunei Darussalam ini, Institusi masjid dan pegawai didalamnya pada hari ini telah turut berperanan dan berfungsi dalam banyak aktiviti Negara khasnya yang berkaitan dengan agama. Pada setiap perayaan Negara sama ada Perayaan Hari Kebangsaan , Perayaan Sambutan Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan beberapa lagi sambutan yang berkaitan dengan perayaan Negara, Masjid sebagai tempat memulakan langkah untuk merayakan untuk merayakan sambutan-sambutan tersebut. Melalui sembahyang berjemaah, berwirid, membaca Al-Quran dan berdoa memohon kehadrat Allah semoga Agama, Negara, Raja sentiasa dalam lindungan dan mendapat hidayat dari Allah Ta’ala.

Alhamdulillah Negara Brunei Darussalam sangat bertuah dan beruntung mempunyai raja yang bukan sahaja mengambil berat terhadap perkembangan Islam di Negara ini malah sangat mengambil berat dan sentiasa peka terhadap peranan dan fungsi institusi masjid. Kepekaan baginda sangat jelas melalui titah-titah baginda yang banyak menyentuh mengenai takmir masjid.

Setiap tahun masjid-masjid yang mengikuti pertandingan takmir masjid akan dianugerahkan oleh baginda dalam Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj sebagai masjid yang terbaik mengikut kategori yang dipertandingkan. Walaupun anugerah tersebut tidak lagi diadakan bermula tahun 2010M / 1431H akan tetapi Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dan beberapa bahagian dibawah Jabatan ini masih menjalankan pemerhatian khususnya dalam menjalankan takmir masjid.

5.2 Pegawai Masjid sebagai sandaran kepada masyarakat:

Sebagai pentadbir dan orang-orang yang mendapat kepercayaan untuk meneraju masjid sama ada oleh kerajaan mahupun masyarakat setempat (jemaaah masjid), para pegawai haruslah menunjukkan dan menjalankan tanggungjawab ini dengan sesuatu yang terbaik, kerana mereka juga adalah di antara orang-orang yang terbaik dan terpilih di kalangan mereka. Peranan pegawai-pegawai masjid dalam menjalankan takmir masjid sangatlah diperlukan demi keperluan ummah sesebuah mukim atau kampong serta menghidupkan masjid dengan acara-acara keagamaan yang menarik penduduk kampong untuk datang berjemaah dimasjid.

Imam bukan sahaja perlu mahir dalam bidang ilmu agama seperti fardu ain atau fardu kifayah malah mestilah menguasai pelbagai ilmu kemahiran seperti ilmu kejiwaan, kemasyarakatan, launseling dan sebagainya, kerana imam merupakan sumber rujukan terdekat masyarakat setempat.

Definisi Pegawai-pegawai masjid adalah jawatan pekerjaan dan perkhidmatan bagi menjalankan secara langsung suruhan-suruhan ugama iaitu imam, bilal marbut dan mana-mana orang yang memangku atau menjalankan tugas bagi jawatan-jawatan itu.

Masjid menjadi tempat para penduduk mukim atau kampong merujuk khususnya yang berkaitan dengan ugama islam. Pegawai masjid menjadi sandaran kepada penduduk mukim atau kampong tersebut dalam hal suka dan duka seperti menguruskan jenazah, majlis pernikahan, bertahlil, doa jemaah haji dan sebagainya.

Bagi keperluan penduduk mukim atau kampong yang berkeinginan menambah ilmu pengetahuan ugama, pegawai-pegawai masjid akan meneliti keperluan-keperluan yang yang diperlukan didalam mukim atau kampong tersebut. Sebagai contoh: tidak ada dalam kampong tersebut mereka yang boleh menyempurnakan jenazah baik lelaki atau perempuan. Dari penelitian tersebut pegawai masjid dikampong itu perlu mengambil inisiatif mengadakan kursus jenazah teori dan praktikal serta menjadikannya aktiviti berterusan sehingga ada didalam kampong tersebut yang mahir dalam penyempurnaan jenazah.

Selain dari itu pegawai-pegawai masjid perlu berfikir bijak menyusun setiap aktiviti yang akan dijalankan akan tetapi jika hanya pegawai-pegawai masjid sahaja yang bertungkus lumus tanpa ada penglibatan dari penduduk mukim atau kampong tersebut, aktiviti tersebut tidak akan berjalan seperti yang diingikan. Bagi membantu pegawai-pegawai masjid menjalankan aktiviti takmir masjid, penglibatan penduduk mukim atau kampong sangat diperlukan dan penubuhan Ahli Jawatan Kuasa Takmir Masjid akan membantu pegawai masjid dengan tujuan bagi kesempurnaan perjalanan masjid serta memajukan pentakmiran dan hal ehwal kebajikan masjid.

5.3 Pengerusi dan Bendahari bagi Ahli Jawatankuasa Takmir masjid :

Merujuk buku panduan kerja pegawai-pegawai masjid 1996 bilangan 57 iaitu: “Adalah bijak Bagi imam berusaha dengan Ketua Kampong bagi menubuhkan Jawatan Kuasa Takmir Masjid jika Jawatan Kuasa itu belum di bentuk.”

Melihat kepada pentingnya masjid kepada pambangunan ummah, usaha-usaha kearah meningkatkan lagi perkembangan syiar Islam melalui masjid telah banyak dibincangkan melalui seminar-seminar serantau dan antarabangsa.

Pada tahun 2006 Negara Brunei Darussalam telah mengendalikan satu seminar Jawatan Kuasa Takmir Masjid Sempena Sambutan Isra’ dan Mi’raj 1427H/2006M yang menggabungkan Ahli Jawatan Kuasa ini di anggotai terdiri dari anak mukim atau kampong untuk memegang jawatan-jawatan Takmir Masjid.

Melalui seminar tersebut, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah mengeluarkan buku garis pandu penubuhan dan perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Takmir Masjid Negara Brunei Darussalam untuk kegunaan pegawai-pegawai masjid. Antara tujuan penubuhan Jawatan Kuasa Takmir Masjid adalah:
1. Menjadi pembantu kepada pegawai-pegawai masjid dalam memeduli hal ehwal kebajikan masyarakat islam dimukim masjidnya.
2. Mengambil berat mengenai dengan kehadiran anak-anak mukim masjid itu pada menunaikan ibadat dimasjid khasnya solat fardhu juma’at.
3. Mengambil berat mengenai dengan hal ehwal keagamaan didalam mukim masjid tersebut.

Jawatan Kuasa Takmir Masjid itu perlulah terdiri dari kumpulan orang-orang yang dilantik oleh anak mukim masjid untuk memegang jawatan-jawatan seperti berikut:
1. Pengerusi
2. Naib Pengerusi
3. Setiausaha
4. Penolong Setiausaha
5. Bendahari
6. Penolong Bendahari
7. Penyelia Pemeliharaan Bangunan
8. Penyelia Sambutan Hari Kebesaran Islam
9. Penyelia Hal Ehwal Belia
10. Penyelia Bahagian Pendidikan dan Kebudayaan Islam
11. Penyelia Bahagian Dakwah dan Penerangan
12. Penyelia Fakir dan Miskin
13. Penyelia Hal Ehwal Muslimah
14. Dua orang Pemeriksa Kira-kira.
Antara syarat pemilihan ialah Jawatan Pengerusi dan Bendahari adalah terdiri dari pegawai-pegawai masjid yang bertugas dimasjid kampong tersebut kerana jawatan. Keahlian yang lain adalah dilantik dari kalangan orang yang berpengalaman dan mahir dalam selok belok penduduk kampong seperti ketua kampong dan dari kalangan orang-orang yang berpendidikan seperti guru-guru besar dan berpendidikan ugama seperti guru-guru ugama, seterusnya lantikan adalah dari jemaah-jemaah masjid yang difikirkan berkelayakan dan bersesuaian.

Dengan adanya penglibatan dari penduduk mukim atau kampong dalam membantu pegawai-pegawai masjid menjalankan takmir masjid, memudahkan lagi penduduk kampong berinteraksi atau bekomunikasi bersama pegawai-pegawai masjid keperluan-keperluan yang diperlukan oleh penduduk sekitar. Dari sinilah pegawai-pegawai masjid berperanan selain menjaga pentadbiran masjid malah sentiasa bermesyuarat bersama Jawatan Kuasa Takmir Masjid membuat perancangan aktiviti takmir masjid.

6- AKTIVITI YANG YANG MENDAPAT SAMBUTAN DARI MASYARAKAT .
6.1 AKTIVITI MINGGUAN
KULIAH MAGHRIB & SUBUH
Aktiviti mingguan yang semakin mendapat sambutan dari kalangan Jemaah. Dengan pengisian kuliah mengenai hal ehwal semasa (hukum-hukum asas ibadat), akidah dan akhlak, yang mana ianya disampaikan oleh penyampai-penyampai yang berkebolehan (termasuklah juga penglibatan Pegawai-pegawai Hal Ehwal Masjid, yang mana ini adalah antara tugas-tugas utama mereka, iaitu menyampaikan kuliah dimasjid-masjid)
6.2 AKTIVITI BERKALA
PERKAMPUNGAN BELIA MASJID
Aktiviti sempena cuti sekolah menggabungkan belia-belia Masjid. Dalam aktiviti ini, selalunya belia-belia akan diberikan program-program yang bersesuaian bagi mengisi aktiviti-aktiviti mereka sepanjang mengikuti program seumpamanya, seperti mengadakan lawatan-lawatan ketempat-tempat yang menarik, lawatan ke Kampong-kampong, membuat kerja-kerja amal, ceramah motivasi dan sebagainya. Biasanya program seumpama ini dapat menarik penglibatan belia-belia, dan purata kehadiran belia bagi tiap-tiap program yang dijalankan ialah 30-50 orang .
6.3 AKTIVITI BERMUSIM
AKTIVITI RIADAH SEMPENA AWAL TAHUN HIJRAH
Aktiviti ini adalah aktiviti tahunan yang diungkayahkan bersama antara Jabatan Hal Ehwal Masjid dan agensi-agensi lain. Acara ini merupakan acara sampingan sempena menyambut Awal Tahun Hijrah. Sebagai contoh acara walkaton yang bermula dari Masjid Omar Ali Saifuddien menuju ke Jame Asr Hassanal Bolkiah yang pernah diadakan pada tahun 2009 iaitu sempena menyambut awal tahun hijrah 1431, telah berjaya menarik minat masyarakat, dimana lebih 1000 orang menyertai acara pada hari tersebut. Acara ini bukan hanya setakat walkaton sahaja, ianya juga diselitkan dengan kuliah subuh .

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BELIA
Majlis seperti ini juga pada akhir-akhir ini sering melibatkan penyertaan para belia dimana sambutan yang diberikan amat menggalakkan, akan tetapi pegawai-pegawai masjid terpaksa memilih belia-belia yang boleh membaca al-Quran dengan baik, demi untuk memastikan objektif majlis ini berjalan dengan lancar, yang mana antara objektifnya ialah :
Sebagai memyemarakkan bulan ramadhan,
Mengeratkan hubungan tali silaturrahim sesama peserta
Mencari keberkatan bulan ramadhan
Membiasakan belia membaca al-quran
7- FAKTOR KEJAYAAN DAN KEGAGALAN PEGAWAI MASJID DALAM MENJAYAKAN SATU-SATU AKTIVITI
7.1:MUZAKARAH DIANTARA PEGAWAI MASJID BERSAMA AHLI JAWATANKUASA TAKMIR.
Mengikut pengalaman masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam dalam menjalankan dan menjayakan sesuatu aktiviti takmir masjid adalah dimulai dengan majlis permuzakarahan/mesyuarat di antara Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam-imam, Bilal-bilal dan Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid. Dengan bermesyuarat/bermuzakarah, suatu aktiviti yang dirancang pasti akan terlaksana dengan jayanya jika dibandingkan dengan aktiviti yang dirancang tetapi tidak bermesyuarat/berunding.
7.2: PERANCANGAN YANG RAPI
Selain dari muzakarah/mesyuarat diantara pegawai-pegawai bersama Ahli Jawatankuasa Takmir masjid, pegawai-pegawai masjid juga perlu mempunyai perancangan yang rapi dalam menyusun atau merancang satu-satu aktiviti atau kegiatan dimasjid-masjid, iaitu dengn adanya RANCANGAN AKTIVITI TAKMIR TAHUNAN. Selain ianya merupakan satu perkara yang mesti dilakukan oleh mana-mana pegawai masjid ( pada kebiasaan, pegawai-pegawai masjid di mestikan untuk menghantar rancangan aktivti takmir tahunan ke Bahagian Imarah Jabatan Hal Ehwal Masjid ), ianya juga penting bagi memudahkan pegawai-pegawai masjid dalam menyusun aktivti yang akan berlangsung, dan yang paling penting untuk dijadikan agenda dalam muzakarah bersama Ahli Jawatankuasa Takmir masjid .

7.3:PENYEDIAAN KERTAS KERJA
Selain dari dua perkara diatas, penyediaan kertas juga antara factor yang menyumbang kepada kejayaan satu-satu aktiviti yang diadakan. Tanpa penyediaan kertas kerja, satu-satu aktiviti takmir masjid pasti tidak akan dapat berjalan lancar dan jayanya. Dari kertas kerja inilah pegawai-pegawai masjid akan dapat mengenal pasti perkara-perkara yang mesti diambil perhatian seperti perbelanjaan majlis termasuk jamuan, hadiah (jika yang dianjurkan itu berupa pertandingan), surat jemputan, dan yang paling penting untuk mendapat kebenaran dari pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid. Pada kebiasaannya kertas kerja ini akan dibincangkan dalam mesyuarat masjid ( diantara pegawai2 masjid dan ahli jawatankuasa takmir), maka dengan pandangan2 dan maklum balas dari semua Ahli Jawatankuasa Takmir, Insya Allah akan menjadikan acara/aktiviti yang akan dilaksanakan tidak mempunyai kekurangan dan kecacatannya.
7.4:SUMBER KEWANGAN
Disamping perkara-perkara yang dijelaskan sebelum ini, sumber kewangan yang mencukupi juga memainkan peranan yang besar dalam menjayakan aktiviti-aktiviti masjid. Berdasarkan kepada pengalaman dalam menjayakan satu-satu aktiviti seperti kursus fardhu kifayah( pengurusan jenazah ), sumber kewangan amat diperlukan bagi bagi keperluan penyediaan kertas kerja ( kertas, pen, fail ), membeli barang-barang kelengkapan jenazah sebagai alat bantu mengajar, seperti : kain putih,gunting, kapur berus, minyak wangi, sabun, selipar, teko, pengurik gigi, kapas, benang dll, membeli patung samada berukuran lelaki dewasa atau kanak-kanak, membeli papan untuk sesi praktikal membuat keranda, bayaran kepada pengkursus (jika menggunakan khidmat pengkursus luar) dan penyediaan jamuan bagi acara penutup kursus tersebut. Tanpa kewangan yang mencukupi sudah pasti sedikit sebanyak membantutkan rancangan yang telah disusun. Kerana itulah ada sebilangan kecil masjid-masjid tidak mampu Mengungkayahkan aktivti-aktiviti yang boleh menarik lebih ramai Jemaah, lebih-lebih lagi bagi masjid-masjid yang mempunyai sumber kewangan yang terlalu sedikit ( seperti masjid-masjid kampong pedalaman dan sebagainya ), dan ini ditambah lagi dengan ketiadaan pihak yang mahu menyumbang atau menaja satu-satu aktiviti .

7.5:KOMITMEN DARI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR MASJID.
Untuk mepastikan kejayaan sesuatu, sudah pasti kita tidak mampu untuk bergerak secara bersendirian. Begitulah juga halnya dalam menjayakan satu-satu aktiviti khususnya yang dianjurkan oleh masjid, komitmen dari ahli2 jawatankuasa takmir amat mustahak kerana mereka inilah jentera penggerak dan tunjang kejayaan aktiviti-aktiviti masjid, kerana itu pegawai-pegawai masjid mestilah mempunyai hubungan yang akrab dengan masyarakat, khususnya Ahli Jawatankuasa Takmir . Ini secara tidak langsung menjadi factor kejayaan satu-satu majlis/aktiviti yang dianjurkan.
7.6 : PUBLISITI .
Ini juga sebenarnya membantu dalam mencapai kejayaan bagi apa saja aktiviti yang dianjurkan. Dengan adanya makluman, iklan, pengumunan, samada dimasjid (biasanya dilakukan pada hari jumaat) atau melalui media masa ( surat khabar, radio atau televisyen ), dan ditambah lagi dengan teknologi baru seperti Blog, FACEBOOK dan sebagainya, setiap aktiviti yang akan dianjurkan pasti akan dapat menarik minat masyarakat untuk mengahadirinya, malahan tidak mustahil juga ada dermawan yang bermurah hati menaja atau menyumbang sesuatu bagi menjayakan aktivit-aktiviti itu. Kegagalan pegawai masjid (terutama kerangnya sambutan orang ramai) antaranya ialah berpunca dari kurangnya publisiti untuk masyarakat, ini jelas boleh menjarakkan masyarakat dengan masjid dan secara tidak langsung akan menyebabkan kredibiliti pegawai masjid itu sendiri akan terjejas .
8 – CADANGAN .
Untuk mempastikan kepimpinan pegawai-pegawai masjid (termasuk Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam, Bilal dan Merbut ) terserlah khususnya dalam pentakmiran masjid, maka beberapa cadangan perlulah diambil perhatian :
1- Pemantauan Akidah: Pegawai masjid perlulah lebih kerap memasukkan tentang kefahaman akidah didalam aktiviti masjid, samada melalui forum, kursus-kursus singkat, ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah, supaya masyarakat lebih mendalami dan memahami tentang akidah dan menjauhkan diri dari ajaran-ajaran yang bertentangan dari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah .
2- Penggunaan Teknologi Maklumat ( IT ) : Walaupun berada dalam suasana masjid, tidak bermakna pegawai-pegawai masjid itu terkebelakang dari segi penguasaan bahan-bahan IT. Pegawai-pegawai masjid hari ini mestilah mempersiapkan diri dengan kemahiran IT seperti pengunaan e-mail, blog, Facebook, termasuklah juga dengan pengunaan ohp projector dan microsoft Power Point ( untuk kuliah maghrib dan sebagainya ), kerana bahan-bahan ini adalah juga antara daya penarik yang dapat diguna pakai dimasjid .
3- Membanyakkan Program bagi Kumpulan Belia Masjid (KBM): Belia hari ini merupakan bakal pemimpin dimasa akan datang, kerana itu kita mestilah mempersiapkan mereka dengan bekalan yang boleh meraka bawa pada masa akan datang. Kerana itu, masjid juga berperanan dalam memberi in-put kepada golongan belia supaya mereka dapat memanfaatkan usia muda mereka dengan baik dan dapat mendampingkan diri dengan masjid.Pegawai masjid hendaklah menyusun semula system organisasi KBM dimasjid-masjid. Selain itu pegawai-pegawai juga mestilah bijak menyusun aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan kehendak belia yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
4- Kefahaman fardu ain/kifayah :Selain dari kehafaman akidah, kefahaman hukum-hukum Islam (fardu ain/kifayah) juga perlu diambil perhatian. Pegawai-pegawai juga mestilah bijak mengisi program-program akitviti masjid dengan perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam dengan membuat berbagai strategi seperti kursus-kursus yang dibahagikan kepada beberapa modul dan sebagainya.
5- Muslimah : Selain dari Jemaah lelaki dan belia, muslimah juga tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan kepada syiar Islam, malahan kehadiran mereka dalam sembahyang fardu dimasjid-masjid pun semakin hari semakin bertambah. Oleh itu program khusus untuk muslimah masjid juga mesti difikirkan oleh pegawai-pegawai supaya kehadiran mereka dimasjid itu tidak hanya tertumpu untuk sembahyang semata-mata, akan tetapi sekurang-kurangnya mereka memperolehi ilmu yang boleh mereka praktikkan seperti mengadakan kelas dewasa muslimah dimasjid-masjid, yang mana didalamnya boleh diselitkan mata pelajaran seperti kelas Al-Quran, Fiqh, Ahwal Syakhsiah dan sebagainya.
9 - KESIMPULAN
Dengan adanya tiga sumber penting iaitu sumber tenaga manusia yang terdiri dari pegawai2 masjid beserta ahli2 jawatankuasa takmir masjid, sumber kewangan yang mencukupi serta sambutan dari masyarakat, sudah cukup untuk menjayakan apa jua aktiviti yang dirancang.. Oleh itu, jika salah satu diantara tiga perkara ini TIADA, sudah pasti pegawai-pegawai masjid itu tidak akan mampu untuk mengimarahkan masjid. Dalam usaha memaksimumkan peranan masjid, maka tenaga manusia yang memegang amanah utama dalam meng‘imârahkan masjid yang terdiri daripada imam, khatib, bilal dan jawatankuasa ta‘mîr masjid mestilah mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam pentadbiran dan pengurusan masjid. Dalam perkara ini, institusi pengajian tinggi haruslah menyediakan kursus-kursus pentadbiran dan pengurusan masjid yang khusus direka untuk diberikan kepada pihak-pihak yang berkenaan, khasnya imam, khatib dan bilal.