My Blog List

Wednesday, May 23, 2012

JALAN YANG LURUS..

Dalam Al-Quran Allah berfirman didalam surah Al-Fatihah: "tunjukkanlah kami jalan yang lurus".

Apa dia jalan yang lurus? Menurut setengah ulama tafsir, jalan yang lurus itu ialah:
1- Al-Irsyad iaitu agar dikurniakan kecerdikan dan kecerdasan, sehingga dapat membezakan yang benar dan yang salah.

2- At-Taufik iaitu bersesuaian dengan apa yang Allah rencanakan.

3- Al-Ilham iaitu diberi petunjuk supaya dapat mengatasi sesuatu yang sulit.

4- Ad-Dilalah iaitu ditunjukkan dalil-dalil dan tanda-tanda dimana tempat yang boleh dilalui, tempat-tempat bahayadan sebagainya.

Menurut riwayat Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas, yang dimaksudkan dengan jalan yang lurus ialah supaya ditunjukkan agama yang benar. Dan menurut beberapa riwayat yang lain, Ibnu Mas'ud mentafsirkan bahawa siratal mustaqim itu ialah kitab Allah (Al-Quran).

Untuk mencapai jalan yang lurus ini, maka kita tidaklah boleh berpandukan akal semata-mata. Walaupun untuk menentukan baik dan buruk selalunya melalui pertimbangan akal, akan tetapi bagi Islam ada garis pandu yang mesti diperhatikan. Kerana itu Allah mengutus Rasul sebagai pembimbing manusia kejalan yang benar.

Sebagai manusia, walaupun segala nikmat yang lain diberi kepada kita, akan tetapi jika petunjuk ini tidak kita perolehi, maka nikmat-nikmat ini boleh sahaja membahayakan kita, contoh orang yang diberikan kekayaan rezeki oleh Allah, jika tiada petunjuk, maka boleh sahaja dia menjadi seorang yang kikir atau bakhil atau terlalu cintakan harta sehingga tidak mahu berzakat, menginfakkan harta pada jalan Allah dan sebagainya.

Maka untuk mendapat hidayah ini, kita mestilah sentiasa meminta kepada Allah, kerana hanya Allah yang berhak dan berkuasa untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.. Wallahu a'lam.